Siapa Saya

Siapa Saya

 

Mari berkenalan

Assalamualaikum. Hai semua.

Salam perkenalan untuk semua. Di sini saya dengan rendah dirinya ingin berceritalah serba sedikit mengenai diri saya. Ada yang mengenali diri saya ini di sekitar tahun 2006 lagi kerana di waktu itu adalah kemuncak carier saya. Kerana bermulanya saat itu saya sangat aktif dengan aktiviti rekacipta elektronik ini. Seterusnya pelbagai aktiviti inovasi yang telah saya jalankan sehingga saat ini.

Sentiasa berada di dalam Lab peribadi saya sendiri

Nama saya Mohd Azrai. Panggilan yang sering digunakan adalah Azrai saja. Bermula dari sekolah rendah lagi saya sangat berminat dengan rekacipta dan projek elektronik. Kerana minat yang mendalam saya belajar sendiri ilmu tentang elektronik. Pada masa itu internet masih belum ada lagi. Malah handphone pun belum ujud pada masa itu. Jadi saya mencari ilmu dengan membaca buku dan mencari maklumat di perpustakaan saja. Jika ada buku-buku projek elektronik yang diiklankan di surat khabar, pasti saya akan beli kerana minat.

Sentiasa berusaha jika kita inginkannya

Selepas peperiksaan PMR 1993 (sekarang PT3), saya berjaya masuk ke sekolah vokasional Ampangan, Seremban dalam kursus elektronik. Saya berminat masuk vokasional walaupun kelayakan pada masa itu adalah Sekolah Teknik tapi saya tolak tawaran itu dan memilih untuk masuk sekolah vokasional juga. Di sekolah vokasional ilmu tentang elektronik saya pelajari dengan lebih mendalam lagi. Di sana ditekankan lebih kepada pembelajaran amali di bengkel selain dari pembelajaran secara teori.

Alumni Vokasional Ampangan 94/95

Selepas habis peperiksaan SPMV saya sambung pelajaran ke Politeknik Jitra, Kedah dalam kursus Elektronik Perhubungan. Tamat pengajian di Politeknik saya sambung lagi pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang yang sama juga. Sepanjang tempoh pengajian dan pembelajaran saya bermula dari sekolah vokasional sehingga ke Universiti, aktiviti rekacipta memang tidak saya tinggalkan. Silibus projek akhir tahun merupakan subjek yang paling saya suka dan mendapat skor tertinggi. 

 Membuat Site Survey di Telekom Limbang, Sarawak

Tamat pengajian saya bekerja di sektor swasta dalam bidang telekomunikasi sebagai penyelia projek selama 8 tahun. Saya diberi tugas menyelia projek telekomunikasi seluruh Malaysia termasuk Sabah Sarawak. Dalam tempoh kerjaya tersebut saya tidak pernah tinggalkan aktiviti rekacipta elektronik. Malah kemahiran tersebut saya gunakan dalam pekerjaan saya. Pekerja yang baik adalah berupaya menyelesaikan tugasan yang diberi sekiranya berlaku masalah kesulitan.

Meneliti projek DIY yang dipasang

Selepas 8 tahun berkhidmat saya memutuskan untuk bekerja sendiri sebagai perunding projek elektronik untuk sekolah-sekolah, ipt dan juga syarikat-syarikat. Kemudian saya ditawarkan berkhidmat sementara di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya sebagai penolong jurutera bahagian elektrik dan elektronik bagi menjayakan satu projek khas di KDN. Selesai tempoh tugasan saya kembali semula menjadi perunding di syarikat saya sehingga ke hari ini.

Ketika bertugas di KDN Putrajaya

Antara aktiviti menarik yang pernah saya adakan adalah membuat program di sekolah-sekolah, IPT dan syarikat-syarikat. Saya menjadi mentor untuk projek inovasi sekolah bagi penyertaan pertandingan inovasi peringkat negeri dan kebangsaan. Saat paling indah apabila muncul juara inovasi peringkat negeri dan kebangsaan serta mendapat beberapa anugerah inovasi.

Membuat persediaan untuk pertandingan inovasi sekolah
Menjadi Mentor projek pertandingan inovasi di ITEX KLCC
Menjadi Mentor projek rekacipta inovasi sekolah peringkat Zon Negeri (Juara)
Kelas Asas Projek Elektronik untuk student Universiti Teknikal Melaka  (UTeM)
Inovasi Pelita Elektronik Solar berjaya perolehi pingat Perak dan Gangsa di ITEX KLCC

Bermula dari saat itu khidmat saya digunakan di sekolah-sekolah dan kolej komuniti dengan menyampaikan ilmu-ilmu baru perpandukan daripada pengalaman saya dalam bidang rekacipta elektronik. Saya juga ada membuat beberapa kursus asas elektronik rekacipta di IPT dan di beberapa tempat. Selain itu saya ada menyediakan khidmat belajar buat projek sehingga projek berjaya untuk pelajar sekolah dan pelajar IPT.

Saya seorang pendiam tapi banyak memberi ilmu semasa kuliah di Kolej Komuniti
Penerangan mengenai asas rekacipta elektronik 
Mengajar di dalam bengkel amali di Kolej Komuniti
Teknik penyampaian perlu kreatif dan ada kelainan supaya pelajar tidak bosan

Kerana minat mendalam pada rekacipta, saya ada menghasilkan beberapa produk DIY untuk dipasarkan seperti alat pengesan logam, alat pengasing emas, produk berasaskan solar dan banyak lagi. Bermula dari situ saya menghasilkan beberapa produk berasaskan elektronik untuk dipasarkan. Semua produk yang dihasilkan atas permintaan orang ramai.

Antara beberapa produk yang dihasilkan. Ada banyak lagi produk tidak dapat ditunjuk di sini.
Projek Banner Elektronik Solar sempena Bulan Merdeka untuk Komuniti Penduduk
Projek pemasangan solar untuk pondok Guard
Melakar secara kasar idea-idea untuk simpanan
Antara projek untuk student semester akhir

Pada masa yang sama saya menyertai aktiviti berkumpulan bagi tujuan memahami fungsi produk yang telah dihasilkan. Antara aktiviti kumpulan yang saya sertai seperti aktiviti pencarian item logam, aktiviti pencarian barangan purba dan aktiviti paranormal. Setiap aktiviti yang dijalankan saya akan bawa sekali produk berkaitan yang telah dihasilkan untuk diuji.

Untuk mendalami satu hasil rekaan produk, perlu merasainya sendiri dengan melakukan aktiviti berkaitan

Ada beberapa individu, syarikat dan juga badan berkanun menggunakan khidmat saya untuk menghasilkan produk. Antaranya seperti Jabatan Ukur Pemetaan, Jabatan Penjara Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Muzium Tentera dan syarikat-syarikat swasta.

Sertai grup pencari emas untuk mencari idea untuk produk pengasing emas automatik
Sertai team projek teknologi water fuel untuk kenderaan di Universiti Pertahanan Negara, Malaysia
Penerangan kepada Jabatan Ukur Pemetaan Malaysia (JUPEM) tentang alat pengsan logam DIY
Perbincangan bersama Dato Zulkifli M.Osman dengan team untuk projek Solar di Kemboja

Sehingga ke hari ini saya masih melakukan aktiviti rekacipta elektronik untuk kegunaan saya sendiri dan juga untuk orang lain yang memerlukan. Tidak lupa juga saya menghasilkan beberapa produk pembelajaran seperti buku panduan, ebook dan juga kit projek.

Anugerah Syarikat Inovasi

Itu sajalah setakat ini penerangan mengenai diri saya serba sedikit. Insyaallah dengan sedikit penerangan ringkas ini, anda dapat mengenai diri saya dengan mengetahui apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Sebenarnya ada banyak lagi yang hendak saya kongsikan pengalaman dan aktiviti menarik yang pernah saya buat. Sehingga bertemu lagi di lain waktu dan tempat. InsyaAllah

Mendapat liputan akhbar tempatan

Terima kasih. Semoga bertemu lagi.

 

p/s:  Saya banyak bercerita mengenai kejayaan. Namun disebalik kejayaan itu sebenarnya banyak juga kegagalan dan air mata. Yang penting adalah bangkit dari kejatuhan dan tidak mudah putus asa.